SPBK menjayakan Program Pecah Rekod Malaysia/Dunia USM
7 Disember 2025 - 2 staf SPBK telah sertai satu program cubaan memecah rekod Malaysia dan rekod dunia. Encik Rizman dan Puan Ameyliana telah bersama 7061 orang lain memecah rekod Malaysia Book of Records Penyertaan Teramai untuk Latihan CPR-AED dalam masa 12 Jam.
Berikut adalah Laporan dari Berita USM:
USM, PULAU PINANG, 7 Disember 2025 – Program Mass CPR–AED 2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra DTSP Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mencapai 7,063 penyertaan dalam tempoh 12 jam, sekali gus melepasi sasaran penganjur untuk memecahkan rekod Malaysia Book of Records bagi penyertaan CPR–AED terbanyak, walaupun sasaran awal 10,000 peserta bagi percubaan rekod Guinness World Records tidak dapat direalisasikan.
Program anjuran Penang Heart Safe Society dengan kerjasama USM itu turut disokong dan diperakui oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melalui komitmen pelbagai agensi kesihatan dan keselamatan bagi menjayakan usaha pendidikan resusitasi pada skala besar.
Majlis penutup yang berlangsung pada jam sembilan malam dihadiri oleh Pengerusi Program Mass CPR–AED 2025, Dato' Dr. Luah Lean Wah, bersama Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran yang mewakili Naib Canselor USM, dan disempurnakan sejurus jumlah penyertaan rasmi diumumkan.
Dalam ucapan penutupnya, Dr. Luah merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan sukarelawan atas komitmen yang diberikan sejak awal pagi sehingga ke malam, sambil mengimbas perjalanan penganjuran Mass CPR–AED sebelum ini dan menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada USM atas sokongan yang diberikan.
“Sokongan USM yang kuat ini saya tahu bukan sahaja untuk mencapai rekod, tetapi lahir daripada tanggungjawab dan kesedaran masyarakat setempat,” ujar beliau.
Program diteruskan dengan ucapan Profesor Azlan yang menyampaikan syabas dan tahniah kepada semua peserta dan sukarelawan atas usaha berterusan mereka sepanjang hari, sambil memberikan penghargaan khas kepada Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni BHEPA, Pusat Sejahtera, serta Jabatan Keselamatan USM atas kerjasama menyeluruh yang memastikan kelancaran penganjuran program.
“Ingatlah hari ini, tujuh Disember, apabila kita bersama-sama meletakkan nama USM dalam Malaysia Book of Records,” kata beliau menutup ucapannya.
Majlis penutup turut menyaksikan pengumuman rasmi daripada wakil Malaysia Book of Records, Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi, yang mengisytiharkan kejayaan program tersebut melalui rekod baharu iaitu penyertaan CPR–AED terbanyak dalam tempoh 12 jam dengan jumlah 7,063 peserta.
Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama universiti sebagai penganjur bersama program kesihatan awam berskala besar, malah menjadi detik bersejarah kepada semua peserta, sukarelawan dan rakan kerjasama yang menjayakan program tersebut.

Foto: En. Rizman bersama wakil Malaysia Book of Records, Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi,
Sumber: Berita USM (https://news.usm.my/index.php/berita-mutakhir/12216-rekod-baharu-malaysia-7-063-peserta-sertai-mass-cpr-aed-2025-di-usm)